Apr232016
PDFPrintE-mail
Tengku Razaleigh Hamzah

Ubah Status Laporan Juruaudit Negara Mengenai 1MDB

Demi memastikan komen mengenai 1MDB itu bermakna, ia seharusnya dibuat selepas Laporan Ketua Audit Negara mengenainya dikemuka kepada Parlimen. Sayangnya, Laporan tersebut telah diklasifikasikan sebagai rahsia negara di bawah Akta Rahsia Rasmi. Keadaan ini tidak dapat dipertahankan sama sekali. Status Laporan Ketua Audit Negara mengenai 1MDB seharusnya tidak diklasifikasikan sebagai rahsia supaya Ahli-Ahli Dewan Rakyat boleh mendapatinya dan sekaligus boleh didapati juga oleh rakyat jelata.

2. Saya membuat seruan ini sejajar dengan keputusan yang dibuat oleh Perdana Menteri, YAB Dato’ Sri Najib. Beliau telah membuat keputusan bahawa Ketua Audit Negara seharusnya, sebagai langkah muktamad, menyiasat isu 1MDB dan serahkan hasil penyiasatan tersebut sebagai laporan untuk pertimbangan Dewan Rakyat. Dalam membuat keputusan tersebut, YAB Perdana Menteri memberi gambaran bahawa tidak apa yang hendak diselindungkan dan sesiapa yang didapati bersalah terpaksalah menghadapi tindakan undang-undang.

3. Dalam hal berkaitan dengan Laporan Ketua Audit Negara ini, izinkan saya memetik Perkara 107(1) Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan: “Ketua Audit Negara hendaklah mengemukakan laporan-laporannya kepada Yang di-Pertuan Agong yang hendaklah menyebabkan laporan itu dibentangkan di hadapan Dewan Rakyat.” Perkara 107(1) tidak menyebut langsung tentang klasifikasi mana-mana laporan Ketua Audit Negara sebagai rahsia negara. Yang demikian adalah menyalahi perlembagaan sekiranya laporan tersebut dihalang daripada dikemukakan kepada Dewan Rakyat.

4. Sememangnya munasabah sekiranya kita menganggap semangat di sebalik Perkara 107(1) ini menekankan  mengenai pentingnya terdapat ketelusan dalam penyebaran maklumat demi menjamin rakyat sentiasa dimaklumkan mengenai hal ehwal negara yang perlu diketahui umum dan tiada apa yang disembunyikan daripada mereka. Ini bermakna Ahli-Ahli Dewan Rakyat yang mewakili para pengundi, iaitu orang ramai, hendaklah dimaklumkan mengenai isi kandungan Laporan tersebut. Kita harus maklum bahawa Perlembagaan Persekutuan, sebagai undang-undang negara tertinggi dan teragung semestinya diikuti dan didokong dengan tegas.

5. Maka itu, saya mohon agar Parlimen menarik balik klasifikasi rahsia terhadap Laporan Ketua Audit Negara mengenai 1MDB. Sekaligus ini membenarkan Ahli-Ahli Parlimen mendapatinya. Ini dengan sendirinya akan menghapuskan rasa cemas di kalangan orang ramai yang memikirkan mereka tertipu  dan tidak berhak untuk mengetahui keadaan sebenar di sebalik satu-satunya skandal kewangan negara yang terbesar.

 

Tengku Razaleigh Hamzah

Ahli Parlimen Gua Musang

Kuala Lumpur.

23 Mac 2016 bersamaan

15 Rejab 1437H.