Nov122014
PDFPrintE-mail
Tengku Razaleigh Hamzah

Tunku yang saya kenali

Bismillahhirrahmannirrahim,

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera.

Tuan-tuan dan puan-puan sekelian, dengan rendah diri saya memanjat kesyukuran ke hadrat Allah swt kerana dengan limpah rahmatNya dapat kita bersama-sama untuk mengenang kembali warga terulung negara tercinta ini, iaitu Tunku Abdul Rahman Putra Al Haj. Umum mengetahui Tunku sebagai Bapa Kemerdekaan. Ramai juga mengenali beliau sebagai putera raja berjiwa rakyat yang amat sayang lagi kasihkan warga biasa. Tetapi yang benar-benar rapat dengannya serta dapat menyelami hati budi Tunku semakin kurang kerana ramai di antara mereka telah meninggalkan kita.

Maka itu saya amat berterima kasih kepada Sdr Aziz Zariza di atas undangan merasmikan pelancaran bukunya “Putera Merdeka”. Ia memberi kesempatan kepada saya untuk berkongsi, dengan para hadirin budiman sekelian, sedikit sebanyak apa yang saya tahu mengenai Al-Marhum Tunku. Saya juga mengucapkan syabas dan tahniah kepada Sdr Aziz atas kejayaan beliau ini.

2. Tunku yang saya kenal mempunyai sifat dan perwatakan mulia yang disanjung kawan serta lawan. Beliau berperilaku sederhana dan sentiasa berpijak di bumi nyata. Ada kalanya perilaku Tunku agak ‘idiosyncratic’; umpamanya sering kali Tunku ke pejabat berkasut tanpa stokin. Apa pun, mereka yang mengenalinya sentiasa mengenangi Tunku sebagai insan yang halus budinya lagi bermartabat tinggi dan menjaga serta mengawal maruah. Tunku juga terletak di kalangan negarawan dunia terulung dan keadaan ini nyata diiktiraf oleh Queen Elizabeth II, Ratu United Kingom dan Al Malik Feisal, Raja Arab Saudi.  Sebagai negarawan, ternyata Tunku adalah seorang ‘visionary’ berwawasan tinggi.

3. Izinkan saya mengimbas kembali hemah Tunku yang cemerlang itu. Sebagai seorang pemimpin politik yang dihormati dunia, Bapa Kemerdekaan kita itu amat disegani oleh para pemimpin Komanwel. Ketika Afrika Selatan dihantui dasar pilih bulu ‘apartheid’ penindasan mengikut warna kulit, suara hati kecil Tunku yang sememangnya bersimpati terhadap kedaifan rakyat jelata tidak membenarnya berdiam diri, berlidah kelu seribu bahasa. Maka itu pada Persidangan Perdana Menteri Komanwel 1961 di London, Tunku dengan sokongan, antara lainnya, Perdana Menteri India Jawaharlal Nehru dan Perdana Menteri Kanada John Diefenbaker serta pemimpin-pemimpin Afrika yang lain, menentang keahlian Afrika Selatan. Memandangkan dia melawan arus anti ‘apartheid’ yang tidak mampu diatasinya, Perdana Menteri Afrika Selatan H. F. Verwoerd berundur dan membawa negaranya keluar dari pertubuhan tersebut. Perkembangan ini juga menyebabkan Afrika Selatan terencat dari Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu. Sejarah menunjukkan bahawa Afrika Selatan kembali ke pangkuan Komanwel pada 1994 apabila Nelson Mandela dan Kongres Kebangsaan Afrika [African National Congress – ANC] menang di dalam pilihanraya umum dan memimpin tampok pemerintahan negara itu.

4. Ketokohan Tunku sebagai negarawan dan kepimpinan politiknya yang berhemah itu, mendapat perhatian teliti di kalangan dunia Islam, terutamanya usaha-usaha pendakwahan Tunku. Amat ketara sekali ialah peranannya sebagai pengasas PERKIM [Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia] pada 1960 dengan tujuan awalnya untuk mengembangkan agama Islam di Semenanjung. Kejayaan PERKIM mengembalikan saudara-saudara senegara ke jalan yang lurus lagi benar [sirrathol mustaqim] mendapat pengiktirafan pertubuhan Rabitah al-Alam al-Islami dari Arab Saudi dalam bentuk pergandingan bahu dengannya di Kuala Lumpur pada 1980 untuk menubuhkan RISEAP [Regional Islamic Da’awah Council of South East Asia & the Pacific – Majlis Dakwah Islam Asia Tenggara & Pasifik].

5. Tujuan penubuhannya ialah untuk merapat dan mengeratkan pertalian dan perhubungan antara negara di wilayah tersebut yang mempunyai kaum Islam minoriti sejajar dengan usaha mereka mencapai tujuan dan cita-cita bersama di samping usaha dan tugas mereka menegak,  mempertahan, serta mengembangkan tujuan Islam. Sebagai pengasas, Tunku telah dilantik sebagai presiden pertama RISEAP.  Sejak permulaannya yang sederhana itu, RISEAP kini mempunyai 44 ahli biasa dan 10 ahli bersekutu daripada 22 buah negara.

6. Sebenarnya kerja-kerja pendakwahan Tunku bermula awal lagi, iaitu di tahun-tahun 1960an. Pada waktu itu beliau amat gigih mencari jalan untuk menyatu-padukan ummah melalui suatu pertubuhan seakan-akan the Commonwealth of Nations. Tunku amat tertarik dengan konsep Komanwel Negara-Negara Islam walaupun terdapat banyak konflik dan perbalahan sesama sendiri. Berkat kegigihan Tunku serta sokongan padu Al Malik Feisal dan dengan diberkati Allah SWT, tertubuhlah OIC [Organisation of Islamic Conference]. Tunku dilantik sebagai Setiausaha Agung pertamanya selepas beliau bersara daripada jawatan Perdana Menteri Malaysia. Ketika menyandang jawatan inilah Tunku berusaha menubuhkan IDB [Islamic Development Bank]. Pada hemat saya, sudah tiba masanya usaha mulia Tunku itu dibawa ke kemuncaknya dengan mengembangkan bidang tugas IDB sebagai teras dan paksi dalam penubuhan “Islamic Reserve Bank” untuk menjadi perintis ekonomi Islam yang bertindak sebagai ‘central bank’ kepada ummah.

7. Sebagai seorang pemimpin Islam yang banyak berbakti untuk memartabatkan kedudukan agama Allah ini, Tunku telah disanjungi dengan Anugerah Al Malik Feisal dan Anugerah Hijrah Pakistan, penerima pertama anugerah tersebut selepas Pakistan menzahirkannya. Ketika mengulas kedua-dua penganugerahan tersebut di dalam pojok [column] akhbarnya, Tunku menulis:

“If I had been told that one day, I would be honoured as a Muslim leader and given such high awards as the King Feisal Award and the Hijrah Award of Pakistan, I would never have believed it … I shared the King Feisal Award with His Excellency Sheikh Massanein Makhlof. He is an authority on the religion of Islam. He could read every word of the Quran by heart, noting where the Ps and Qs, the full-stops, commas, hyphens and dashes are. He knows every word uttered by the Prophet in the Hadith … As for me, I never dreamt that I would be nominated to share the honour with this great religious man … I did no more than do what a good Muslim should do in the cause of Allah and for the good of men.”

8. Para hadirin sekelian, Tidak dapat dinafikan betapa hebatnya pengiktirafan terhadap Tunku sebagai seorang pemimpin Islam dan negarawan. Bagaimanapun, rakyat sezamannya – terutamanya mereka yang rapat dan akrab dengannya – lebih mengkagumi akan sebab musabab tersirat di sebalik beberapa keputusan yang dibuat oleh Bapa Kemerdekaan kita dalam menyiap-sediakan negara menghadapi 31 Ogos, 1957. Sebab musabab ini bersandarkan kepada perasaan kemanusiaan Tunku yang amat peka terhadap tindakbalas rakyat biasa kepada sesuatu keputusan itu. Di sini saya ingin berkongsi dua tiga cerita yang menggambarkan betapa Tunku sentiasa memikir mengenai keselesaan rakyat biasa dalam apa jua tindakan yang diambil olehnya.

9. Ketika negara berada di ambang kemerdekaan, kita cuma mempunyai satu sahaja kelengkapan yang melambangkan kedaulatan sesebuah negara merdeka, iaitu bendera yang kini diberi nama rasmi Jalur Gemilang. Bendera ini mula diterima-pakai dengan terbentuknya Persekutuan Tanah Melayu  pada 1948 setelah UMNO, di bawah pimpinan Dato’ Onn Jaafar, berjaya menumpaskan pembentukkan Malayan Union, iaitu gagasan yang  dimuslihatkan oleh Harold MacMichael untuk memindah kuasa Raja-Raja Melayu terus ke tangan British. Dalam memikirkan simbol-simbol kedaulatan yang lain seperti Lagu Kebangsaan dan Bunga Kebangsaan, Tunku sebagai pemimpin praktikal yang sentiasa berpijak di bumi nyata tidak mahu menyusahkan rakyat dalam apa jua keputusan yang dibuat oleh beliau.

10. Berdasarkan rasional inilah Tunku membuat ketetapan untuk tidak digubah sebuah lagu baru sebagai Lagu Kebangsaan tetapi memilih irama Terang Bulan dengan lirik yang ditulisnya sendiri yang diberi nama Negaraku. Tunku tertarik dengan Terang Bulan kerana lagu popular ini mudah dinyanyi dan menjadi siulan anak muda pada tahun-tahun 1930an dan 1940an. Nyata sekali Tunku tidak mahu membebankan rakyat dengan lagu dan irama baru yang harus dihafalkan dan membiasakan diri dengannya sebagai Lagu Kebangsaan.

11. Begitu juga halnya dengan pemilihan Bunga Raya sebagai Bunga Kebangsaan negara kita. Mengikut perkiraan Tunku, pemilihan kuntuman bunga canggih seperti orkid, umpamanya, belum tentu dapat memikat rakyat biasa untuk menerimanya sebagai Bunga Kebangsaan. Ini ialah kerana rakyat biasa kurang lazim dengan bunga-bunga sofistikated. Tetapi rakyat biasa amat kenal akan Bunga Raya yang terdapat di merata ceruk kampung, mudah ditanam dan sering dijadikan tanda sempadan untuk memisahkan dua bidang tanah kepunyaan berlainan. Logik yang berpijak di bumi nyata lagi mudah diketengahkan ini juga mencerminkan peribadi Tunku sebagai seorang yang penyayang dan tidak suka menyusahkan orang lain.

12. Ketika hayatnya, Tunku terkenal sebagai seorang yang gemarkan bolasepak. Sebagai mahasiswa Universiti Cambridge, Tunku mewakili pasukan bola sepak Kolej St Catherine’s, kolej kediaman beliau. Yang demikian, Tunku yang amat peka akan pentingnya rakyat jelata mendapat hiburan murah lagi bermanfaat, menggalakkan perkembangan bola sepak sebagai sukan nasional. Di tahun-tahun selepas 1957, Stadium Merdeka yang dibina untuk pengisytiharan kemerdekaan dijadikan tempat pertandingan Pestabola Merdeka. Ia merupakan kejohanan bola sepak Asia tertua dan bersemaraknya populariti Pestabola Merdeka di tahun-tahun 1960an hingga 1980an menjadi bukti bahawa maksud Tunku menjadikan bola sepak sebagai salah satu sukan kebangsaan kita telah tercapai.

13. Para hadirin sekelian, apa jua keputusan yang dibuat oleh Tunku adalah untuk kepentingan rakyat jelata; umpamanya Peraduan Membaca Quran Tahunan yang kemudiannya dinamakan Tilawah Membaca Quran Tahunan. Ide di sebalik kejohanan ini ialah untuk mewujudkan jalinan ukhwah sesama rakyat terutamanya pada bulan Ramadhan. Sekaligus ini merupakan aktiviti dakwah yang dihargai oleh negara-negara Islam lain yang mengambil bahagian.

14. Satu lagi aktiviti dakwah yang mengharumkan nama Tunku sebagai pemimpin Islam disegani ummah ialah pembinaan Masjid Negara di atas tapak bersetentang dengan Stesen Kereta Api Kuala Lumpur. Yang menariknya ialah terdapatnya kemudahan penginapan di aras bawah tanah masjid kebangsaan itu. Ia sekali lagi mencerminkan betapa Tunku sentiasa memikirkan akan keselesaan dan kemudahan untuk rakyat biasa. Rasional pemilihan tapak itu ialah mereka yang datang ke Kuala Lumpur dengan kereta api tetapi mempunyai kewangan terhad hanya perlu menyeberangi jalan untuk mendapat kemudahan bermalam percuma.

15. Lebih menarik lagi ialah cara pembiayaan pembinaan Masjid Negara. Ia tidak langsung membabitkan dana kerajaan. Tunku berjaya mengguna daya tarikannya untuk menawan hati para dermawan dan tauke-tauke besar bagi menyumbang kepada tabung pembinaannya. Kekurangan kewangan untuk memenuhi tabung ini ditampung oleh Al Malik Feisal.

16. Sifatnya yang mengutamakan rakyat di samping menjaga kepentingan mereka dapat dikesan di bidang politik seawal pelantikan Tunku sebagai  Ketua Menteri pada 1955 selepas Perikatan, gabungan parti politik yang dipimpinnya, memenangi 51 daripada 52 kerusi yang ditandingi untuk Majlis Perundangan Persekutuan dalam pilihanraya umum pertama yang berlangsung pada 27 Mei tahun itu.  Tunku sedar bahawa keadaan negara di bawah pentadbiran Darurat pimpinan Pesuruhjaya Tinggi Donald MacGillivray amat menyusahkan kehidupan rakyat biasa. Justeru itu beliau berjaya meyakinkan Sir Donald untuk mengadakan Rundingan Baling dengan Chin Peng, ketua Parti Komunis Malaya [PKM] pada 28 dan 29 Disember tahun yang sama. Ikut sama di rundingan tersebut ialah David Marshall, Ketua Menteri Singapura. Sayangnya Rundingan Baling itu tidak memberi apa-apa keputusan kerana Chin Peng enggan membubar PKM dan tidak mahu menerima hakikat bahawa pihak British berniat untuk memberi kemerdekaan kepada Persekutuan Tanah Melayu.

17. Sebagai seorang yang cintakan kedamaian, Tunku tidak kecewa dengan perkembangan Rundingan Baling. Sebaliknya beliau terus mencari jalan untuk mencari penyelesaian terhadap masalah apa yang dikenali sebagai Darurat ini. Tunku tidak selesa memimpin negara yang dikelilingi kuasa komunis. Maka itu beliau telah mengadakan rundingan sulit dengan pihak British yang, pada ketika itu, menjadikan pengunduran dari Timur Suez sebagai sebahagian daripada dasar luarnya. Tindakan Tunku ini akhirnya menghasilkan gagasan Malaysia yang menggabungkan, pada awalnya, Malaya, Sabah, Sarawak dan Singapura. Kedudukan Singapura di dalam gabungan ini lebih merupakan duri dalam daging kepada kaum Melayu. Mereka, terutamanya, tidak dapat menerima kerenah pemimpin sekutu tersebut. Demi mengelakkan keadaan ini terus merosot keputusan diambil untuk memisahkannya daripada Malaysia.

18. Walau apa pun implikasi terhadap tindakan yang diambil itu, umum tidak dapat menafikan bahawa Tunku adalah seorang budiman yang cintakan kedamaian. Ini ternyata dengan jawapannya ketika ditanya pada suatu sidang akhbar kenapa tidak ditambah peruntukan pertahanan yang terkandung dalam belanjawan. Jawapan ringkas Tunku ialah kita negara kecil dan miskin dan tidak mampu bergaduh dengan kuasa besar. Apabila ditanya lagi apa akan terjadi sekiranya kita dilanggar, Tunku secara berseloroh menjawab, kita serah diri. Jawapan ini disambut dengan ketawa berderai. Tetapi di sebalik jawapan bersahaja dan berseloroh itu Tunku amat benci akan keganasan dan peperangan.

19. Para hadirin sekelian, saya telah cuba menceritakan sedikit sebanyak apa yang saya tahu mengenai Tunku Abdul Rahman Putra Al Haj. Izinkan saya menutup bicara ini dengan menggambarkan Tunku melalui tiga ungkapan yang terdapat di dalam drama komedi “Twelfth Night” oleh Shakespeare – “some are born great, some achieve greatness, and some have greatness thrust upon them”. Tunku menepati ketiga-tiga gambaran ini. Putera raja ini lahir di istana. Inilah ‘born great’. Sebagai Bapa Kemerdekaan dan Bapa Malaysia yang menjadi salah seorang pemimpin sanjungan dunia Islam, Tunku telah “achieve greatness”. Apabila didesak oleh barisan pemimpin UMNO untuk mengisi kekosongan akibat pengunduran Dato’ Onn Jaafar sebagai pemimpin, itulah “greatness being thrust upon Tunku”.

Tuan-tuan dan puan-puan sekelian, akhir kata dengan melafazkan Bismillahir Rahmanir Rahim, saya dengan segala sukacitanya melancarkan dengan rasminya buku “Putera Merdeka” oleh Aziz Zariza.

 

Wabillahitaufik Walhidayah, Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

 

Ucapan Y.B.M. Tengku Razaleigh Hamzah

Ketika Merasmikan Pelancaran “Putera Merdeka” oleh Aziz Zariza, Sebuah Buku  Mengenai Tunku Abdul Rahman Putra Al Haj,

Pada Hari Selasa, 11 November, 2014, Jam 4.30 Ptg

Bertempat Di Intercontinental Hotel, Kuala Lumpur.