Oct022011
PDFPrintE-mail
Tengku Razaleigh Hamzah

Ucapan di Perbahasan Bajet 2007 - Cadangan Penubuhan Malaysia sebagai "Oil & Gas Hub" 13 September 2006

Terima kasih Tuan Yang di-Pertua.

Saya bangun untuk turut mengambil bahagian dalam perbahasan Belanjawan 2007. Saya menaruh harapan belanjawan ini akan dapat memberi kekuatan kepada kerajaan dalam memberi kesejahteraan kepada semua lapisan masyarakat Malaysia. Apatah lagi cabaran yang dihadapi oleh negara bertambah besar.

Kita adalah sebuah negara kecil. Jumlah wang yang akan kita gunakan bagi tujuan pembangunan dan mengurus sebanyak RM159.4 bilion iaitu sekitar USD40 bilion bukanlah angka yang terlalu besar kalau dibandingkan dengan belanjawan beberapa buah syarikat multinasional dunia ataupun rangkaian pasar raya di beberapa buah negara yang maju, sudah tentu angka ini semakin kecil di dalam keadaan pergolakan dunia yang semakin tidak menentu. Peperangan di Timur Tengah terus melonjakkan harga minyak dunia yang sekali gus menaikkan kos dalam pelbagai barangan dan perkhidmatan. Manakala isu keganasan antarabangsa turut mendesak pelbagai kos lain seperti yang berkaitan dengan keselamatan, pengangkutan, insurans dan sebagainya boleh menjejaskan urusan perdagangan kita. Kita, negara perdagangan yang sangat terdedah kepada keadaan dunia. Tidak dinafikan kenaikan harga minyak tidak semestinya buruk buat kita. Selain kita masih lagi sebagai negarapengeksport bersih minyak iaitu nett exporter yang memberi keuntungan kepada Petronas, kenaikan harga minyak turut membuahkan nikmat kepada penanam kelapa sawit dan getah kita.

Kelebihan ini menjadikan kita lebih bernasib baik. Kegelisahan rakyat di sektor tertentu ditampung oleh kegembiraan rakyat di sektor yang lain. Ini tidak bermakna kerajaan boleh membiarkan segala-galanya ditentukan oleh arus dunia yang kelihatan seperti sentiasa menyelamatkan kita. Saya akui, kerajaan telah membuat pelbagai usaha untuk menghadapi sebarang kemungkinan. Langkah menggalakkan Petronas mencari rizab minyak antarabangsanya harus dipuji. Namun rakyat turut ingin tahu sejauh manakah hasil yang diperolehinya.

Beberapa insiden di Sudan meresahkan kita. Isu kita dihalau dari Chad perlukan penjelasan. Sejauh manakah pula pelaburan kita selamat di Myanmar atau Iran sekiranya negara ini menerima tekanan antarabangsa atas faktor-faktor politik? Sebab itu saya percaya keselamatan dan kesejahteraan jangka panjang Malaysia banyak bergantung pada keupayaan kita bekerjasama dengan negara-negara lain bukan sahaja rantau ini tetapi juga dengan negara-negara lain yang jauh daripada kita.

Kerjasama di peringkat ASEAN sudah begitu lama diuar-uarkan. Namun semakin hari semakin memperlihatkan pertandingan di kalangan kita bukan untuk melengkapi tetapi boleh membunuh antara satu sama lain.Apa sudah terjadi kepada impian menjadikan Proton sebagai Projek Kereta ASEAN. Atau apakah kita sendiri terpaksa menentang semangat AFTA yang kita tandatangani dalam menangkis kemasukan kereta-kereta Barat atau Asia Timur yang dipasang di negara jiran dan diiktiraf sebagai kereta nasional mereka. Proton dilahirkan dalam penuh kontroversi, hari ini ia masih diselubungi oleh pelbagai kontroversi baru, berapa lama kontroversi ini akan berlarutan.

Tidak dinafikan jumlah wang yang besar telah dinyatakan dalam belanjawan ini dan juga Rancangan Malaysia Kesembilan untuk pembangunan bioteknologi kita, saya percaya ia terbit dari kepercayaan kita bahawa masa depan industri kita tidak boleh bergantung kepada industri pemasangan yang berintensif buruh lebih-lebih lagi kita negara yang tanahnya subur, penuh hutan belantara yang menjadi sumber pembangunan industri bioteknologi, namun kita masih dilihat berlumba dengan negara-negara jiran. Ada di antara mereka sudah pun ke depan walaupun mereka sendiri tidak ada tanah dan tidak ada hutan, mereka dilihat bukan sekadar mencari dan mereka cipta produk-produk baru tetapi mempunyai road map tersendiri ke arah mencapai tahap tertinggi dalam industri.

Dua contoh di atas iaitu industri automobil dan bioteknologi hanyalah sekadar imbasan kepada kedudukan kita yang masih bertarung dengan negara-negara jiran dalam menghasilkan produk kita dan bertanding antara satu sama lain, kelihatannya seperti tiada rancangan besar dalam merangkakan kerjasama atau membahagikan tugasan sesama kita, di kalangan kita tidak ada produk istimewa ataupun niche product ataupun produk-produk yang saling melengkapi antara satu sama lain. Sebab itu saya ingin mencadangkan supaya kerajaan dapat mempertimbangkan supaya industri minyak dan gas, oil and gas dengan izin kita dimajukan dengan lebih besar, kita adalah pengeluar dan pemilik rizab bahan ini yang terbesar di rantau ini.

Petronas yang ditubuhkan di awal tahun 70-an, kini telah mencatatkan namanya sebagai salah sebuah syarikat multinasional yang berjaya di dunia, ia mengatasi nama-nama syarikat lain di rantau ini seperti Pertamina atau syarikat-syarikat dari kalangan pengeluaran minyak dunia lain termasuk negara-negara Arab. Tidak dinafikan pelaburan besar sama ada di peringkat upstream ataupun hiliran telah kita curahkan, kita memiliki keupayaan dalam mengeluarkan pelbagai produk minyak dan gas kita di Terengganu, namun Malaysia masih belum disebut hub of oil and gas industry, dengan izin di rantau ini.

Saya percaya melalui satu perancangan strategik nasional dalam menjadikan kita hub dan pemimpin industri ini kita dapat manfaatkan bukan sahaja kedudukan kita sebagai pengeluar minyak dan gas yang terbesar di rantau ini, tetapi juga kedudukan yang strategik kita di tengah-tengah laluan Selat Melaka dan Laut China Selatan. Hubungan baik kita dengan negara-negara Arab dan Islam lain sepatutnya dimanfaatkan bagi mendapat bekalan bahan mentah yang berterusan dari negara-negara pengeluar minyak dan gas dunia, manakala dalam konteks pertumbuhan ekonomi yang begitu pesat di China dan India, kitalah yang sepatutnya dilihat sebagai rakan paling strategik bagi mendapatkan bekalan yang berterusan bahan-bahan ini. Saya percaya ramai pelabur dari negara itu, akan datang ke mari bagi memastikan bekalan yang mencukupi untuk keperluan mereka sendiri.

Rancangan strategik ini bukan sahaja dalam konteks pembinaan industri yang berkaitan seperti dalam bidang penapisan, penstoran ataupun storage, peralatan, penyelidikan, pembinaan rangkaian penyaluran ASEAN ataupun ASEAN inter-connectivity, eksplorasi dan lain-lain aktiviti hiliran, tetapi yang lebih penting ialah menggembleng pasaran modal dunia dalam bidang ini, bermakna dengan izin, as the oil and gas hub in ASEAN, Malaysia must be the leader in all areas relating to the industry including oil and gas refining hub, oil and gas storage hub, oil and gas equipment hub, network and distribution infrastructure, exploration and production of both oil and gas, downstream petroleum product, and by-product the capital market where industry players seek financing, trading in futures for oil and gas, research and technical centre both for oil and gas and alternative energy sources.

Saya kira, tidak salah sekiranya kita bersifat lebih accommodative dalam bidang pasaran modal bagi industri ini bukan sahaja di Bursa Saham tetapi juga bagi pasaran bond dan pasaran derivative. Ia termasuk mengadakan dasar yang lebih liberal, memberi insentif yang lebih menarik dan meringankan syarat-syarat penyenaraian bagi syarikat-syarikat ini di Bursa Saham kita.

 

Tuan Yang di-Pertua,

Globalisasi dan cabaran pertumbuhan kuasa baru ekonomi ini, iaitu China dan India menuntut kita lebih pantas bertindak. Ini termasuk mencetuskan idea-idea baru agar kita tidak ketinggalan apabila melihat satu demi satu pelabur meninggalkan kita kerana mengejar keuntungan yang lebih besar di negara-negara tadi. Negara jiran mungkin dilihat terdesak apabila terpaksa membuka dua kasino terbesar dan lain-lain aktiviti menarik wang luar ke negara mereka, kita tidak perlu membuat perkara yang sama kerana Tuhan memberikan kita pelbagai sumber lain yang perlu dimanfaatkan.

Saya percaya apa yang disebutkan tadi sudah ada di dalam fikiran pucuk pimpinan kita namun rakyat dan orang ramai terutama kapten-kapten industri kita, tertanya-tanya tentang pelaksanaan rancangan kita, ini termasuk kenapa ekonomi kita masih terasa lembapnya. Rancangan Malaysia Kesembilan bukan sahaja dikatakan tidak begitu menarik tetapi setelah setahun berlalu, ramai yang bertanya mana dia projek besar yang sudah bermula.

Kata mereka, tahun depan kita akan bercakap tentang rancangan separuh penggal, namun hingga sekarang kereta impian masih belum meninggalkan garajnya. Apakah kereta kita tidak baik atau untuk keluar dari garaj pun kita masih melalui pelbagai rintangan birokratik. Bahkan mereka turut meluahkan rasa kebimbangan bukan sahaja kita kehilangan daya saing kita kepada negaranegara kos rendah seperti China, Vietnam dan India, tetapi juga kepada negara yang lebih maju seperti Singapura dan Taiwan.

Kata mereka kita masih belum memiliki kelebihan daya saing ataupun, dengan izin, competitive advantage untuk bertanding di peringkat jangka panjang dan sederhana. Bahkan ramai yang masih merasakan di saat kita bercakap tentang corak baru pemerintahan yang berlandaskan kecekapan dan keterbukaan kontrak, dan projek masih berlegar kepada prinsip hubungan dengan mereka yang berkuasa bukannya atas prinsip merit dan keupayaan yang sebenar. Cemuhan terhadap ‘rent seekers’, dengan izin, yang kerap kita luahkan seketika dahulu semakin tidak kedengaran kerana kita sendiri dilihat melahirkan ‘rent seekers’ baru dalam bentuk baru.

Saya percaya persepsi ini dapat dihapuskan sekiranya pemimpin Kerajaan dilihat lebih tegas, berani dan memiliki kehendak politik, iltizam ataupun political will yang lebih tinggi. Ganjaran hanya kepada mereka berupaya membuktikan kebolehannya. Sebaliknya bagi yang tidak, harus dihentikan. Tindakan bukan hanya kepada mereka di peringkat bawahan tetapi yang lebih penting terhadap mereka di peringkat tertinggi. Konsep seorang pemandu dan yang lainnya hanya penumpang tidak lagi sesuai di era kepimpinan kolektif seperti yang cuba kita tunjukkan sekarang.

Saya percaya, walaupun ia sukar dilakukan ia mesti dilakukan juga. Kita tidak boleh mengandaikan Malaysia akan sentiasa selamat kerana Tuhan akan sentiasa menyebelahi kita. Saya berkeyakinan Tuhan hanya akan menyebelahi kita sekiranya kita sentiasa berusaha mengubah nasib kita sendiri.

 

Tuan Yang di-Pertua,

Saya menyokong.

Terima kasih.

Ucapan di Perbahasan Bajet 2007 - Cadangan Penubuhan Malaysia sebagai "Oil & Gas Hub", 13 September 2006