Dec051988
PDFPrintE-mail
Tengku Razaleigh Hamzah

Suatu Akta Bagi Meminda Akta Pertubuhan 1966” di Dewan Rakyat

Tuan Yang Di-Pertua,

Dengan segala hormat dan rasa tanggungjawab sukacita saya mencadangkan satu usul atas nama saya yang berbunyi:

“Iaitu Dewan ini membenarkan ahli dari Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah, mengemukakan Rang Undang-undang Persendirian bertajuk Suatu Akta bagi meminda Akta Pertubuhan 1966.”

Tuan Yang Di-Pertua,

1. Seksyen 12(3) Akta Pertubuhan, 1966 (“Akta Ibu”) dalam bentuknya sekarang, adalah hasil dari suatu pindaan yang dikemukakan melalui Akta Pertubuhan (Pindaan), 1988 yang bertujuan menghindarkan kesan yang dibawah oleh peruntukan-peruntukan yang terdahulu daripadanya, yakni yang menganggap sebagai tidak sah, bukan sahaja sesuatu cawangan yang ditubuhkan oleh sesuatu pertubuhan berdaftar di bawah subsekysen (1) seksyen 12, Akta Ibu, tetapi pertubuhan induk itu sendiri. Adalah dicadangkan supaya pindaan dikemukakan, supaya hanya sesuatu cawangan yang melanggar subseksyen (1) Seksyen 12 Akta Pertubuhan 1966 sahaja dianggap sebagai tidak sah. Pindaan yang dicadangkan kepada Seksyen 12 adalah bertujuan untuk menggunakan peruntukan seksyen 12(3) seperti yang sedia ada kepada semua pertubuhan, yang berdaftar sehingga dan pada 1hb Januari 1987. Pada maa ini, adalah dirasakan bahawa kesan buruk yang dikenakan itu amatlah membebankan. Justeru itu sewajarnyalah pemakaian peruntukan seksyen 12(3) dikuatkuasakan juga kepada pertubuhan-pertubuhan yang dinyatakan itu.

2. Pindaan yang akan dicadangkan ini juga akan mengelakkan daripada sebarang kekeliruan. Dengan pindaan ini sebarang pertubuhan yang berdaftar dan wujud menjelang dan pada 1hb Januari 1987, hendaklah, tertakluk kepada seksyen 12(3) Akta Ibu, dianggap bukan sebagai pertubuhan yang telah melanggar seksyen 12(3).

3. Rang Undang-undang yang dicadangkan ini tidak akan melibatkan kerajaan dalam apa-apa perbelanjaan tambahan.

 

Tuan Yang Di-Pertua,

4. Secara berterus-terang dan dengan penuh ikhlas, saya ingin memaklumkan bahawa tujuan utama usul untuk mengemukakan Rang Undang-Undang Persendirian ini ialah untuk menghidupkan kembali Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu, atau yang terkenal dengan panggilan UMNO, yang telah ditubuhkan pada 11hb Mei 1946. Pertubuhan ini yang telah amat besar jasanya kepada bangsa Melayu dan Negara Malaysia, telah diisytiharkan sebagai tidak sah oleh Mahkamah Tinggi Malaysia pada 4hb Februari 1988 yang lalu. Walaupun ada setengah-setengah pihak yang cuba hendak memutar-belitkan kenyataan mengenai siapa yang bertanggungjawab membunuh UMNO yang ditubuhkan dalam tahun 1946 itu, tetapi hakikat yang sebenar semuanya telah terakam dengan jelas dalam catitan mahkamah. Dan tujuan saya mengemukakan usul ini bukanlah hendak mengungkit-ungkit siapa yang bersalah, tetapi yang lebih penting bagi saya dan bagi seluruh bangsa Melayu ialah bagaimana hendak menghidupkan kembali UMNO, yang telah diisytiharkan sebagai tidak sah itu. Sesungguhnya, usaha-usaha menghidupkan kembali UMNO itu adalah menjadi tanggungjawab moral ahli-ahli Dewan yang mulia ini, terutama yang berbangsa Melayu. Kedudukan kita dalam Dewan ini sebagai Ahli-Ahli Parlimen dalam sebuah Negara Malaysia yang merdeka dan berdaulat, adalah berkat hasil perjuangan UMNO yang bermula dalam tahun 1946 itu. Ertinya, kita semua terhutang budi kepada UMNO. Dan didorong oleh rasa keinsafan untuk mengenang budi itulah seluruh bangsa Melayu khususnya dan masyarakat Malaysia amnya wajar dan wajib berusaha bersungguh-sungguh untuk menghidupkan kembali UMNO. Selain daripada untuk mengenang budi, kita wajib berusaha menghidupkan kembali UMNO kerana beberapa sebab yang lain, dan antaranya termasuklah:

  • demi menegakkan syiar Islam;
  • demi mempertahankan martabat dan kedaulatan Raja-Raja Melayu;
  • demi memulihkan perpaduan bangsa Melayu;
  • demi memantapkan kestabilan politik Malaysia;
  • demi memurnikan amalan demokrasi;
  • demi menegakkan keadilan;
  • demi melanjutkan kesinambungan sejarah

 

Tuan Yang Di-Pertua,

5. Saya yakin bahawa Ahli-ahli Yang Berhormat dalam Dewan yang mulia ini, terutama yang pernah menjadi ahli UMNO, tentu telah faham dan arif tentang segala jasa UMNO terhadap negara dan penduduk Malaysia. Saya juga yakin bahawa ini adalah satu usul yang wajar dan wajib disokong. Wajar dalam erti bahawa ini adalah satu usul yang akan membawa penyelesaian terhadap pelbagai masalah yang dihadapi oleh masyarakat dan negara kita sekarang ini termasuklah perpaduan bangsa serta masalah pelaksanaan keadilan dan amalan demokrasi. Usul ini wajib disokong dalam erti bahawa adalah menjadi kewajipan dan tanggungjawab moral Ahli-Ahli Yang Berhormat dalam Dewan yang mulia ini untuk menyuara dan melahirkan hasrat dan harapan rakyat yang mereka wakili. Yakinlah bahawa rakyat jelata sekarang telah sangat rindu pada perpaduan, mereka rindu kepada kestabilan politik, mereka rindu kepada keadilan dan amalan demokrasi. Dan semua kerinduan mereka itu akan terpenuh bila UMNO yang ditubuhkan pada 11hb Mei 1946, tetapi telah diisytiharkan sebagai tidak sah itu, dipulihkan kembali. Marilah sama-sama kita memulihkannya dengan meluluskan usul yang ada di hadapan kita ini.

 

Tuan Yang Di-Pertua,

6. Saya membawa usul ini ke Parlimen kerana Parlimen adalah institusi penggubal undang-undang yang teragung dalam sistem politik negara kita ini. Parlimen adalah lambang amalan demokrasi. Parlimen adalah manifestasi kepada suara rakyat. Sesuai dengan keagungan Parlimen, bersandarkan kepada amalan demokrasi, menghormati kepada suara dan rintihan rakyat jelata, maka sesuatu penggubalan perundangan itu hendaklah mencerminkan kehendak rakyat dan kepentingan ramai. Berbagai-bagai langkah lain sebelum ini telah diusahakan oleh pelbagai pihak, termasuklah rayuan kepada Mahkamah Agung, dan rayuan-rayuan yang dikemukakan kepada Perdana Menteri dan Menteri Dalam Negeri agar menggunakan kuasa eksekutifnya untuk memulihkan staus legal parti yang telah sangat berjasa kepada rakyat dan negara kita ini. Sepatutnya, usaha ini dilakukan oleh mereka yang memegang tampuk pimpinan parti dan juga mempunyai kekuasaan dalam kerajaan. Sungguhpun demikian, dengan penuh keinsafan saya menyeruh Ahli-Ahli Yang Berhormat dalam Dewan yang mulia ini agar bersama-sama melaksanakan tanggungjawab moral kita memulihkan status legal parti yang telah menjadi warisan bangsa dan negara kita.

 

Tuan Yang Di-Pertua,

7. Saya ingin menghuraikan satu persatu dengan cara yang lebih terperinci sebab-sebab kenapa UMNO yang ditubuhkan dalam tahun 1946 itu mesti dihidup dan dipulihkan kembali.

8. Tetapi sebelum itu terlebih dahulu izinkanlah saya membawa ingatan Ahli-Ahli Yang Berhormat dalam Dewan yang mulia ini kepada serangkaian peristiwa yang ada hubungannya dengan keputusan Mahkamah Tinggi pada 4hb Februari 1988 yang lalu, yang telah mengisytiharkan UMNO itu sebagai tidak sah. Peristiwa-peristiwa tersebut akan saya kemukakan kembali dalam Dewan yang mulia ini agar dicatat kembali sebagai rakaman yang tepat dan betul; semoga dengan demikian sejarah politik dan sejarah kehakiman di negara kita ini akan dapat dibersihkan daripada tindakan-tindakan penyelewengan fakta.

9. Fakta yang betul dan tepat mengenai peristiwa Mahkamah Tinggi pada 4hb Februari 1988 itu, penting bukan sahaja untuk kemurniaan hakikat sejarah, malah yang tidak kurang pentingnya ialah untuk memberi panduan dan pedoman kepada kita dalam berfikir dan bertindak.

 

Tuan Yang Di-Pertua,

10. Sebelas haribulan Mei 1946 adalah satu tarikh yang gemilang dalam sejarah kebangkitan bangsa Melayu. Pada tarikh itulah, di bawah kepimpinan seorang penganjur besar, Dato’ Onn bin Jaafar, dengan semangat yang bernyala dan berkobar-kobar, bangsa Melayu memperlihatkan perpaduan mereka yang unggul, menentang pencerobohan kuasa penjajah Inggeris, yang cuba hendak mencabul martabat dan maruah bangsa kita. Pada 11 Mei 1946 itulah, mereka menubuhkan Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu atau UMNO. Manakala 4hb Februari 1988 adalah satu tarikh hitam dan duka, kerana pada tarikh itulah, UMNO, yang menjadi payung, panji dan lambang perpaduan bangsa kita diisytiharkan sebagai tidak sah oleh Mahkamah Tinggi, iaitu setelah diminta berbuat demikian oleh seorang peguam yang diupah oleh pimpinan yang menguasai UMNO ketika itu. Berikutan dengan itu, maka semakin berlarut-larutlah sengketa dan perpecahan di kalangan bangsa Melayu hingga mengakibatkan timbulnya keresahan di kalangan seluruh masyarakat Malaysia.

11. Semuanya ini bermula bila kepimpinan UMNO pada masa itu tidak melayan aduan dari sekumpulan ahli-ahli UMNO yang telah membawa kepada perhatian mereka beberapa perkara dan amalan di peringkat Cawangan dan Bahagian yang bercanggah dengan Undang-Undang Tubuh UMNO, serta bercanggah pula dengan prinsip demokrasi dan lunas-lunas keadilan. Secara ringkas, aduan-aduan tersebut bolehlah disimpulkan seperti berikut:

Di beberapa Bahagian UMNO termasuk Pasir Putih, Machang, Rantau Panjang dan Nibong Tebal, telah terdapat beberapa cawangan yang tidak sah (kerana tidak berdaftar) tetapi telah menghantar wakil ke Mesyuarat Agung Tahunan Bahagian. Ertinya dalam Mesyuarat-Mesyuarat Agung Bahagian berkenaan, wakil-wakil cawangan yang tidak sah telah dibenarkan mengambil bahagian, berbahas dan mengundi.

Di Bahagian Pekan, terdapat satu keadaan yang membenarkan kehadiran perwakilan yang bukan dari kalangan ahli UMNO dan beberapa orang wanita di bawah umur 16 tahun. Surat aduan secara rasmi telah dikemukakan kepada Ibu Pejabat UMNO pada 17hb Mac 1987 tetapi perkara ini tidak diperbetulkan.

Dalam Perhimpunan Pergerakan Pemuda UMNO yang berlangsung pada 23hb April 1987, terdapat wakil yang telah terlebih umur di samping memegang jawatan pegawai pentadbiran UMNO yang sebenarnya tidak boleh hadir sebagai ahli perwakilan dalam perhimpunan tersebut.

12. Kesemua maklumat-maklumat ini, serta banyak lagi penemuan maklumat-maklumat lain yang dikemukakan dalam mahkamah disahkan betul dan diakui oleh Peguam bagi pihak pucuk pimpinan UMNO. Ertinya peguam yang mewakili pihak yang berkuasa UMNO pada masa itu mengakui bahawa beberapa penyelewengan perbuatan melanggar peraturan telah berlaku dalam mesyuarat beberapa Bahagian dan juga dalam Perhimpunan Pergerakan Pemuda UMNO pada 23 April 1987. Akibat daripada semuanya itu, adalah dianggarkan bahawa tidak kurang dari 56 orang dari perwakilan yang menghadiri Perhimpunan Agung UMNO pada 24 April 1987 itu boleh dipertikaikan kesahihan kehadiran mereka dari segi Undang-Undang Tubuh UMNO.

13. Dalam aduan mereka kepada mahkamah, kumpulan tersebut telah meminta supaya Perhimpunan Agung UMNO yang dalam bulan April 1987 itu diisytiharkan sebagai tidak sah kerana ada beberapa perwakilan yang menghadirinya terdiri daripada cawangan-cawangan yang tidak berdaftar secara sah. Mereka juga meminta supaya cawangan-cawangan tersebut dimansuhkan dan mesyuarat baru diadakan semula. Tetapi malangnya, peguam yang diupah oleh pucuk pimpinan UMNO, yang berkuasa pada masa itu, telah meminta mahkamah supaya keseluruhan pertubuhan UMNO diharamkan.

14. Kejadian ini amatlah pelik dan ganjil dan sangat “ironical” sifatnya dalam mana seorang peguam yang sepatutnya mempertahankan UMNO daripada kemusnahan telah dengan sengaja mengemukakan hujah-hujah yang membawa kepada pemansuhan dan kemusnahan UMNO itu sendiri. Ini adalah satu tindakan “kamikaze” atau perbuatan membunuh diri yang sangat menghairankan. Tindakan peguam tersebut menimbulkan tanda tanya : sekiranya ada udang di sebalik batu atau adakah tindakan itu didorong muslihat-muslihat jahat yang sengaja dirancang oleh sekumpulan kecil yang bersifat tamak dan gila kuasa?

15. Sebagai satu helah untuk menutup muslihat-muslihat jahat mereka, maka mereka melemparkan tuduhan kepada orang lain. Kumpulan sebelas orang yang membuat aduan itu telah dituduh sebagai bertanggungjawab membunuh UMNO. Pihak yang membuat tuduhan itu sengaja melupakan bahawa aduan ke mahkamah itu dibuat adalah sebagai langkah terakhir berikutan dengan keengganan kepimpinan memberi perhatian terhadap aduan yang mereka kemukakan mengikut saluran parti. Tuduhan-tuduhan liar juga dibuat kononnya saya dan rakan-rakan saya telah mendalangi kumpulan sebelas orang itu.

16. Sebenarnya oleh kerana aduan mereka yang bertujuan untuk menegakkan keadilan dan memelihara amalan demokrasi itu telah tidak diberi layanan yang wajar oleh kepimpinan UMNO, maka kumpulan yang membuat aduan tersebut telah terpaksa membawa aduan mereka kepada mahkamah sebagai satu tindakan terakhir. Tindakan mereka ini memang diizinkan oleh Undang-Undang Tubuh UMNO kerana sebelum ini mereka sudahpun mengambil semua langkah sebagaimana yang dikehendaki oleh Undang-Undang Tubuh UMNO. Tindakan mereka juga tidak bertentangan dengan mana-mana undang negara.

17. Satu perkara yang patut diingatkan ialah bahawa ahli-ahli UMNO di masa-masa lalu tidak terfikir untuk mengadukan hal ehwal parti mereka ke mahkamah. Ini kerana ketika itu mereka berpuashati dengan cara aduan-aduan mereka dilayan dan diberi perhatian oleh pucuk pimpinan parti yang bertindak sebagai seorang bapa yang sentiasa mereka jadikan tempat bermanja dan mengadu berbagai-bagai masalah. Mereka merasakan pucuk pimpinan parti sentiasa bersifat adil dan dapat menyelesaikan masalah dan aduan mereka secara yang saksama. Sedangkan pengaduan sebelas orang yang terpaksa merujuk kepada mahkamah itu adalah akibat kekecewaan dan kehampaan mereka dalam mendapat keadilan dari pucuk pimpinan parti yang ternyata telah memberikan layanan secara pilih kasih dan bersikap berat sebelah!

18. Selain itu, patut juga diingat bahawa keputusan mahkamah telah membuktikan bahawa pengaduan kumpulan sebelas orang itu adalah pengaduan yang mempunyai asas. Bukan sahaja mempunyai asas undang-undang, malah pengaduan mereka itu juga mempunyai asas moral dan prinsip-prinsip keadilan.

19. Memang disedari bahawa di masa-masa lalu banyak terdapat cawangan-cawangan UMNO yang tidak berdaftar. Tetapi kerana di masa itu pucuk pimpinan sentiasa peka terhadap masalah dan kehendak ahli parti, maka sebarang sungutan dan rasa tidak puas hati telah dapat diselesaikan secara dalaman dan dalam suasana serta semangat kekeluargaan. Perlulah diingati sebab utama ahli-ali UMNO akhirnya mengadu kepada mahkamah adalah berpunca dari kelalaian atau kecuaian pucuk pimpinan parti memberikan layanan yang adil dan wajar terhadap sungutan dan rayuan yang munasabah.

20. Oleh kerana itu janganlah ada pihak yang berpura-pura tidak faham atau berpura-pura merasa hairan kenapa satu kumpulan yang seramai 11 orang itu membawa aduan mereka kepada mahkamah. Sebaliknya, Tuan Yang Di-Pertua, yang patut menghairankan kita ialah kelalaian atau kecuaian pihak yang berkenaan dalam memulihkan kembali kedudukan legal parti UMNO yang diisytiharkan oleh mahkamah sebagai tidak sah itu, tetapi telah gagal melaksanakan amanah dan tanggungjawab mereka.

21. Yang sebenarnya ada beberapa cara yang dapat dilakukan oleh pihak yang sedang berkuasa untuk memulihkan kembali status legal UMNO ini. Antaranya termasuklah penguatkuasaan Seksyen 70 Akta Pertubuhan yang boleh digunakan oleh Menteri Dalam Negeri untuk mengecualikan UMNO, bukan saja dari ceraian 12(3), tetapi juga dari keseluruhan peruntukan Akta tersebut.

22. Selain itu, berasaskan pandangan Yang Arif Hakim Mahkamah Tinggi, yang dipertanggungjawabkan mendengar kes yang dibicarakan ini, antara tindakan lain yang boleh diambil untuk memulihkan status legal UMNO itu ialah: mendaftarkan segera 30 cawangan yang telah dikenal pasti sebagai cawangan-cawangan yang masih belum terdaftar itu, dan mengadakan semula Pemilihan Agung tahun 1987, serta mengadakan semula pemilihan untuk memilih Ahli-Ahli Majlis Tertinggi UMNO. Ini mesti dilakukan kerana Yang Arif Hakim Mahkamah Tinggi mendapati Perhimpunan Agung dan pemilihan dalam tahun 1987 tidak sah belaka.

23. Tetapi, sangatlah mendukacitakan, tidak ada sebarang langkah positif diambil oleh pihak yang mempunyai kekuasaan untuk memulihkan status legal UMNO itu. Sebaliknya, apabila dikemukakan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi itu ke Mahkamah Agung, sekali lagi peguam yang mewakili kepimpinan UMNO pada masa itu bukan sahaja telah meminta supaya UMNO kekal diisytiharkan tidak sah, malah beliau telah diarah meminta Mahkamah Agung mengenepikan keputsan bertulis Yang Arif Hakim Dato’ Harun Hashim yang telah memutuskan bahawa kepimpinan UMNO hendaklah diserahkan kepada Majlis Tertinggi yang dipilih dalam tahun 1984. Pihak pucuk pimpinan UMNO dalam rayuan balasnya telah memohon, melalui peguam mereka, supaya Mahkamah Agung turut mengisytiharkan pemilihan Majlis Tertinggi UMNO yang ke 37 pada tahun 1984 juga sebagai tidak sah.

24. Sebagai contoh, patut juga diingatkan bahawa Malaysian Indian Congress (MIC) juga telah mengalami kes yang serupa beberapa tahun yang lalu di mana status legal parti itu terancam kerana kewujudan beberapa cawangan yang tidak berdaftar. Tetapi masalah yang mengancam status legal MIC itu dapat diselesaikan bila cawangan yang tidak berdaftar itu memohon untuk didaftarkan dengan segera. Kalau keistimewaan seumpama itu dapat dinikmati oleh MIC, kenapakah pihak berkuasa dalam UMNO tidak mahu melakukannya?

 

Tuan Yang Di-Pertua,

25. Saya ingin menyeru kepada, Ahli-Ahli Yang Berhormat Dewan yang mulia ini, yang pernah menjadi ahli UMNO, supaya sama-sama kita berusaha menghidupkan kembali Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu atau UMNO yang ditubuhkan pada 11hb Mei 1946 itu. Dengan kedudukan kita sebagai ahli badan penggubal undang-undang yang paling tinggi kuasanya dalam negara, iaitu Parlimen yang agung ini, usaha menghidupkan kembali UMNO itu tidaklah menimbulkan sebarang masalah. Bahkan boleh dilakukan dengan mudahnya. Dengan lulusnya rang undang-undang yang saya cadangkan ini, maka UMNO yang diisytiharkan sebagai tidak sah pada 4hb Februari 1988 itu, secara otomatik akan hidup kembali. Jadi, yang perlu ialah supaya kita meluluskan usul ini bagi membolehkan Rang Undang-Undang Persendirian yang bertajuk “Suatu Akta bagi meminda Akta Pertubuhan 1966” ini dikemukakan.

 

Tuan Yang Di-Pertua,

26. Sesungguhnya kita semua dalam Dewan yang mulia ini terhutang budi kepada UMNO yang telah begitu banyak jasanya dalam memperjuangkan kemerdekaan untuk negara ini, meletakkan asas atau landasan untuk kerjasama antara kaum, memelihara kestabilan politik, memantapkan amalan demokrasi, melancarkan pembangunan sosial dan ekonomi, serta menjadikan Malaysia sebagai satu negara bermaruah dan berdaulat di kalangan dunia antarabangsa.

27. Pemulihan status legal UMNO ini wajib diusahakan bukanlah sekadar untuk memenuhi kehendak-kehendak nostalgia dan ingatan romantis ke zaman silam sahaja, tetapi yang lebih penting ialah untuk memulihkan perpaduan bangsa Melayu dalam menghadapi masa hadapan. Satu perkara yang tidak dapat dinafikan ialah bahawa semenjak UMNO menghadapi gelora politik yang hebat akibat rasa tidak puas hati terhadap pucuk pimpinan yang sedang berkuasa, perpaduan di kalangan bangsa Melayu juga telah menghadapi ancaman dan cabaran yang tidak kurang hebatnya. Keadaannya tidak ubah seperti retak menanti belah. Bila UMNO diisytiharkan sebagai pertubuhan tidak sah, dan bila tidak ada usaha yang sungguh-sungguh dari pihak yang berkuasa untuk memulihkannya dalam keadaan asal, perpaduan yang retak itu telah menjadi belah. Maka berlakulah perpecahan di kalangan ahli-ahli UMNO. Tetapi yang lebih mendukacitakan ialah bahawa perpecahan itu bukan sahaja terbatas kepada ahli-ahli UMNO, malah telah meleret-leret kepada kepada para penyokong dan pemerhati UMNO selama ini. Perpecahan itu telah menjangkit keluar dari bidang politik sehingga merebak luas ke bidang sosial, ekonomi, kehakiman, birokrasi dan ke beberapa bidang atau sector lain yang agak sensitif untuk disebut. Sebab utama kenapa perpecahan ini berlaku ialah di samping kerana tidak peka terhadap hasrat dan aspirasi rakyat jelata kepimpinan politik yang berkuasa sekarang juga telah melakukan politik pecah dan perintah.

 

Tuan Yang Di-Pertua,

28. Saya yakin, pemulihan kembali UMNO dalam bentuk asalnya akan dapat dengan sendirinya memulihkan pula perpaduan bangsa Melayu dan masyarakat Malaysia keseluruhanya. Oleh kerana itu, demi pemulihan kembali UMNO 46 itu, demi perpaduan bangsa Melayu dan keharmonian kehidupan masyarakat Malaysia, maka wajarlah Dewan yang mulia ini meluluskan usul yang sedang kita bahaskan ini.

29. Selain daripada untuk memulihkan perpaduan bangsa Melayu dan seluruh masyarakat negara ini, UMNO yang telah menjadi tunggak politik Malaysia semenjak lebih 40 tahun yang lalu itu, perlu dihidupkan kembali, untuk memantapkan kembali, untuk memantapkan kestabilan politik negara kita. Tentu kita semua menyedari bahawa kestabilan politik adalah salah satu syarat utama untuk mewujudkan iklim ekonomi yang sihat yang akan mendorong perkembangan dan pertumbuhan yang lebih pesat. Dan kita semua patutlah sedar bahawa cabaran-cabaran ekonomi yang dihadapi oleh negara semenjak beberapa tahun yang akhir ini sangatlah banyak.

30. Memang kita akui bahawa semenjak beberapa bulan yang akhir ini, keadaan ekonomi negara sudah mulai pulih. Tetapi kita mestilah waspada dan jangan sampai terlena dengan anggapan seakan-akan ini merupakan satu pemulihan yang mutlak. Kita patutlah sedar bahawa sebahagian besar dari pemulihan ini berpunca daripada permintaan yang kuat dari luar negeri dan bukan kerana permintaan dalam negeri. Ini bermakna, bahawa perubahan negatif ekonomi dunia bila-bila masa sahaja boleh membawa kemelesetan kembali kepada ekonomi kita seperti yang baru kita alami.

31. Di samping itu, kita jangan sampai lupa bahawa hutang dalam dan luar negeri kita masih sangat besar sehingga melebihi Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan yang memerlukan belanjawan yang baharu dibentangkan dalam Dewan yang mulia ini. Sebagai bandingan, menurut Laporan Ekonomi Kementerian Kewangan 1988/89, dalam tahun 1980, jumlah hutang negara adalah hanya 45% dari KDNK, sedangkan jumlah tersebut telah meningkat menjadi 102% dalam tahun 1987 yang lalu. Perlu diingat, ini tidak termasuk beban hutang yang telah dilibatkan oleh “Non Financial Public Entreprise”.

32. Kita juga masih menghadapi masalah pengangguran yang sangat membimbangkan terutama di kalangan mereka yang terpelajar. Masalah ini bukan sahaja mengecewakan mereka yang sudah masuk ke dalam pasaran buruh, malah juga menimbulkan kerunsingan di kalangan mereka yang sedang menuntut.

33. Kebimbangan dan kerunsingan kita mengenai masalah ekonomi ini juga melibatkan pelaksanaan Dasar Ekonomi Baru yang kita ketahui tidak mencapai matlamatnya baik dari segi pembasmian kemiskinan mahupun dari segi penyusunan semula masyarakat. Sekarang, Dasar Ekonomi Baru hampir sampai ke penghujungnya. Oleh kerana itu, kita perlu secara bersungguh-sungguh memikirkan langkah-langkah yang mesti diambil untuk menentukan pencapaian matlamat asal. Semuanya ini memerlukan penyelesaian kepada masalah politik yang kita hadapi sekarang ini.

34. Perbuatan mengelirukan orang ramai dengan mendakwa kononnya UMNO (Baru) adalah UMNO yang asal, hendaklah dihentikan. Kita janganlah sampai terpedaya dengan dakwaan sedemikian. Rakyat jelata sedar bahawa UMNO (Baru) ditubuhkan dalam suasana dan dengan maksud serta niat yang sangat berbeza dengan penubuhan UMNO asal. Bukan itu sahaja, semangat demokrasi dan semangat perpaduan yang hendak menyatukan semua bangsa Melayu dan memberi hak berorganisasi yang adil kepada mereka seperti yang terdapat dalam UMNO 46, tidak terdapat dalam UMNO (Baru). Walaupun UMNO (Baru) cuba hendak meniru-niru UMNO 46 dan semenjak beberapa minggu yang akhir ini cuba pula membuat berbagai-bagai tawaran dan sogokan, namun orang ramai telah lebih dari faham untuk membezakan antara kaca dan intan, kerana niat atau nawaitu penubuhan UMNO (Baru) itu sudah bertentangan dan bercanggah dengan falsafah dan semangat UMNO 46.

35. Bagi kita, ratusan ribu bekas ahli-ahli UMNO, yang tidak pernah berhenti atau disingkir dari parti, menuntut supaya hak kita sebagai ahli dikembalikan dengan cara memulihkan UMNO. Pemulihan kembali secara ‘intact’ Pertubuhan Kebangsaaan Melayu Bersatu atau UMNO yang ditubuhkan pada 11hb Mei 1946 itu merupakan langkah yang nyata dan konkrit ke arah perpaduan bangsa, oleh kerana dengan langkah pemulihan itu sekaligus ia akan mengembalikan maruah, hak-hak dan kedudukan setiap ahli di bawah perlembagaan parti UMNO asal sepertimana terdapat sebelum ia diisytiharkan tidak sah oleh Mahkamah Tinggi.

36. Itulah sebabnya, UMNO asal yang ditubuhkan dalam tahun 1946 itu perlu dihidupkan kembali. Pemulihan UMNO 46 itu adalah syarat yang utama untuk mewujudkan perpaduan dan mengukuhkan kestabilan politik serta untuk menyelesaikan pelbagai masalah ekonomi negara yang masih penuh dengan cabaran dan dugaan.

37. Pendeknya, di sebalik rasa lega kita mengenai bayang-bayang pemulihan ekonomi, kita jangan sampai leka terhadap pelbagai masalah yang disebutkan tadi yang memerlukan azam politik dan penggembelingan segala sumber yang ada pada bangsa dan negara kita. Untuk semuanya ini kita memerlukan satu parti tunjang yang kuat seperti mana telah dibuktikan oleh UMNO selama berpuluh-puluh tahun lalu.

 

Tuan Yang Di-Pertua,

38. Di samping iklim ekonomi yang sihat dan sesuai untuk perkembangan dan pertumbuhan yang lebih pesat, kita juga memerlukan satu amalan demokrasi yang sihat. Ini adalah penting hanya dengan terpeliharanya amalan demokrasi itulah hasil atau manfaat dari pertumbuhan ekonomi yang pesat itu akan dapat diagihkan dengan adil demi kesejahteraan dan kemakmuran segenap lapisan masyarakat. Dengan lebih penting lagi, hanya amalan demokrasi yang sihat sahaja yang akan dapat mempastikan kekuasaan tidak disalahgunakan.

39. Seperti telah banyak terbukti dengan pelbagai contoh yang dapat kita kemukakan, UMNO yang diasaskan oleh Allahyarham Dato’ Onn dalam tahun 1946 itu telah membina satu tradisi, dan telah membentuk satu mekanismanya yang tersendiri dalam mengamalkan demokrasi. Dengan tradisi dan mekanisma tersebutlah selama 40 tahun UMNO telah membuktikan dirinya sebagai satu pertubuhan yang peka terhadap pelbagai masalah bangsa Melayu mahupun masalah masyarakat Malaysia seluruhnya. Dengan kepekaan yang sedemikianlah, UMNO telah membina satu sifat yang “fleksibel” serta “accommodative” dalam menghadapi pelbagai tuntutan dan perubahan dari masa ke semasa. Dengan sikap yang fleksibel, tidak mendendam dan sedia memaafkan, UMNO telah menerima kembali beberapa orang individu yang pernah dibuang daripada menjadi ahli. Dengan sifatnya yang peka, fleksibel dan accommodative itulah UMNO menyesuaikan diri dengan perubahan dan pergolakan politik yang berlaku, mulai dari perjuangan menentang Malayan Union, diikuti dengan perjuangan menuntut kemerdekaan serta merintis kerjasama antara kaum, kemudian diikuti pula dengan usaha-usaha pembangunan sosial dan ekonomi terutama melalui Dasar Ekonomi Baru.

40. Sepanjang sejarahnya selama lebih 40 tahun itu, memang banyak cubaan dan dugaan yang dihadapi oleh UMNO. Tetapi berkat kekuatannya yang berasaskan kepada kepekaan, fleksibel dan accommodative itu, semua dugaan dan cubaan tersebut telah diatasi oleh UMNO dan pimpinannya dengan penuh kejayaan sehingga ke tahun 1986 yang lalu.

41. Sejak tahun 1986, pucuk pimpinan UMNO dan negara telah menghadapi satu krisis keyakinan atau “credibility crisis”, kerana telah tidak lagi menghormati prinsip-prinsip demokrasi dan keadilan; dan juga kerana telah melakukan “economic mismanagement”. Kerana itulah mereka dicabar dan ditentang secara besar-besaran dan sungguh-sungguh. Dari satu segi, penentangan itu bolehlah dianggap sebagai satu ujian kepada mereka yang sedang berkuasa dalam mengamalkan demokrasi. Ini adalah juga merupakan satu ujian terhadap kejujuran dan sikap toleransi mereka. Dari satu segi yang lain, semuanya itu bolehlah juga dianggap sebagai satu ujian kepimpinan kepada mereka untuk meneruskan tradisi UMNO. Ertinya, mereka yang sedang berkuasa itu sedang dihadapkan dengan satu ujian dari segi kepekaan, fleksibiliti dan toleransi, serta budaya politik Melayu yang menjadi anutan UMNO selama berpuluh-puluh tahun. Jika mereka lulus ujian tersebut, maka bermaknalah bahawa mereka telah berjaya melanjutkan tradisi UMNO yang menjunjung tinggi nilai-nilai demokrasi serta peka pula terhadap pelbagai perubahan sosial dan politik yang sedang berlaku. Tetapi ternyata mereka telah gagal dalam menghadapi ujian tersebut. Mereka gagal dalam erti bahawa mereka sudah tidak lagi peka terhadap perubahan sosial dan politik yang berlaku; mereka gagal kerana telah tidak dapat melanjutkan tradisi kejujuran dan keikhlasan dalam perjuangan UMNO; mereka dengan sengaja telah menanam bibit-bibit perpecahan yang akhirnya memusnahkan UMNO, iaitu, dengan secara sedar dan sengaja membiarkan kewujudan cawangan-cawangan yang tidak berdaftar; mereka gagal mengamalkan adat resam Melayu yang memuliakan sifat maat memaafkan.

42. Akibat daripada kegagalan-kegagalan mereka itulah maka UMNO telah diisytiharkan sebagai pertubuhan tidak sah oleh mahkamah. Bukan sahaja gagal dalam ujian tersebut, malah mereka juga telah gagal dalam usaha, atau memang sengaja tidak berusaha, memulihkan kembali status legal UMNO setelah diisytiharkan sebagai tidak sah itu. Maka oleh kerana itulah, Tuan Yang Di-Pertua, saya berusaha untuk mengemukakan usul di hadapan kita ini, sebagai satu usaha untuk memulihkan kembali status legal pertubuhan yang telah sangat berjasa kepada bangsa Melayu, serta masyarakat dan negara Malaysia.

43. Pendeknya, kita mahu menghidupkan kembali UMNO yang berpegang teguh kepada prinsip-prinsip demokrasi dan keadilan, UMNO yang peka terhadap aspirasi rakyat jelata, UMNO yang akan melanjutkan tradisi memuliakan amalan bertolak ansur dan sifat saling maaf memaafkan. Kita mahu menghidupkan kembali UMNO yang sentiasa mempertahankan dan menjunjung tinggi martabat dan maruah bangsa, iaitu UMNO yang telah berjaya menyatupadukan ummat Melayu semenjak 11hb Mei 1946 dahulu.

44. Marilah kita lupakan perbezaan pendapat dan perselisihan faham sesama kita; marilah kita ambil yang jernih dan buang yang keruh; marilah kita kembali ke pangkal jalan. Marilah bersama-sama kita menghidupkan kembali Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu, UMNO, yang telah berjasa besar kepada bangsa Melayu khususnya serta seluruh rakyat dan negara Malaysia, amnya. Oleh kerana itu dengan penuh insaf dan kesedaran, atas nama kita yang cintakan UMNO, kita yang telah mewarisi UMNO dan tradisi budayanya, kita yang telah bersumpah setia untuk mempertahankan UMNO dengan apa sahaja, kita yang telah menyaksikan sumbangan UMNO terhadap perpaduan bangsa dan kestabilan politik negara, haruslah dengan satu tekad, satu suara, satu nada, menyisihkan segala perbezaan dan membenamkan segala perselisihan, berusaha secara bersama untuk mengembalikan UMNO yang telah menjadi pusaka bangsa kita selama ini.

45. Untuk semuanya itulah, Tuan Yang Di-Pertua, dengan penuh rasa tanggungjawab dan dengan segala hormat dan takzimnya, saya merayu dan berseru kepada sahabat-sahabat saya Ahli-Ahli Yang Berhormat dalam Dewan yang mulia ini agar bersama-sama meluluskan usul ini demi melaksanakan tanggungjawab moral kita kepada rakyat jelata dan kepada kesinambungan sejarah bangsa dan negara kita yang tercinta ini.

 

Tuan Yang Di-Pertua,

46. Semenjak politik di negara kita bergelora, tentulah ramai di kalangan kita yang terlibat telah tersasul dan tersilap. Sebagai seorang hamba Allah yang daif dan lemah, tentulah saya juga tidak sunyi daripada melakukan kesilapan-kesilapan yang tidak disengajakan. Oleh itu, menerusi sidang Dewan yang mulia ini dengan ikhlas dan segala rendah hati, saya memohon berbanyak-banyak maaf dan berdoa agar kita bersama-sama diberikan petunjuk oleh Allah S.W.T dalam usaha kita untuk memperkuatkan kembali silaturrahim dan berusaha ke arah perpaduan.

 

Tuan Yang Di-Pertua,

Saya mohon mencadangkan.

Terima kasih.

 

Ucapan oleh YBM Tengku Razaleigh Hamzah

semasa membentangkan Rang Undang-Undang Persendirian Bertajuk “Suatu Akta Bagi Meminda Akta Pertubuhan 1966” di Dewan Rakyat

pada Hari Isnin, 5 Disember 1988, bersamaan 25 Rabiul Akhir 1989.