Sep242011
PDFPrintE-mail
Tengku Razaleigh Hamzah

Soalan Lisan Mac-April 2011

 

Hari Selasa, 8.3.11

1. Tengku Razaleigh Hamzah (Gua Musang) minta  Perdana Menteri menyatakan berapakah jumlah pengundi baru yang telah mendaftar sebagai pengundi dan apakah rancangan kerajaan mempastikan setiap penduduk berusia 21 tahun ke atas didaftarkan sebagai pengundi.  Sila berikan pecahan pengundi baru yang berdaftar di bandar berbanding dengan yang berdaftar di luar bandar.

 

Hari Selasa, 15.3.11

2. Tengku Razaleigh Hamzah (Gua Musang) minta Menteri Kewangan menyatakan sejauh mana benarnya dakwaan sebuah badan kajian antarabangsa yang menyebut lebih RM8,000 juta disalur/seludup keluar negara secara haram sejak awal tahun 2000 lagi walaupun kerajaan telah mengetatkan kawalan keluar masuk wang.  Apakah sebabnya ini boleh berlaku.

Hari Selasa, 22.3.11

3. Tengku Razaleigh Hamzah (Gua Musang) minta Menteri Pertahanan menyatakan berapakah jumlah pelatih PLKN yang berjaya menjalani latihan dan berapakah sebenarnya jumlah wang yang telah digunakan dan bagaimanakah wang ini digunakan sejak program tersebut  diwujudkan.

 

Hari Selasa, 29.3.11

 

4. Tengku Razaleigh Hamzah (Gua Musang) minta  Perdana Menteri menyatakan bagaimanakah bentuk penyelesaian antara kerajaan dan penduduk yang terlibat dalam Rancangan pembangunan Kampung Baru di Wilayah Persekutuan dan apakah jaminan kerajaan supaya tidak berlaku sebarang bentuk penindasan terhadap pemilik tanah dan mereka terus akan menikmati faedah daripada pembangunan tanah mereka.

 

Hari Selasa, 5.4.11

 

5. Tengku Razaleigh Hamzah (Gua Musang) minta Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi  dan Kepenggunaan menyatakan  kenapakah sering terjadi barang keperluan rakyat seperti beras, gula, tepung dan minyak masak mengalami kekurangan bekalan di pasaran. Apakah langkah dan jaminan kerajaan untuk memperbetulkan situasi sedemikian dan cuba huraikan Dasar Keselamatan Makanan Negara (Food Security Policy Negara).

 

Hari Selasa

6. Tengku Razaleigh Hamzah (Gua Musang) minta Menteri Dalam Negeri  menyatakan apakah beliau  sedar sejak akhir-akhir ini kemasukan wanita dari luar negeri terlibat dalam kegiatan pemerdagangan manusia, berapakah jumlah mereka yang ditangkap serta dihantar pulang serta bagaimanakah kerajaan dapat menjamin agar aktiviti tersebut dapat dibasmi sepenuhnya.

 

Hari Selasa

7. Tengku Razaleigh Hamzah (Gua Musang) minta Perdana Menteri menyatakan apakah beliau sedar masalah perkauman dan keagamaan sedang meruncing menjadi elemen perpecahan kaum.  Apakah langkah-langkah yang telah dan akan diambil bagi membendung isu tersebut.

 

Hari Selasa

8. Tengku Razaleigh Hamzah (Gua Musang) minta Perdana Menteri menyatakan apakah beliau sedar kejadian pembunuhan dan pembuangan bayi di kalangan remaja Islam kian meningkat, apakah langkah yang telah dan sedang diambil bagi membasmi gejala buruk ini.

 

Hari Selasa

9. Tengku Razaleigh Hamzah (Gua Musang) minta Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan menyatakan apakah jaminan kerajaan terhadap penggiat industri perfileman dapat dipertahankan kesan ujudnya sebuah stesyen televisyen yang dibenarkan menayangkan filem-filem yang masih di peringkat edaran panggung melalui rangkaian penyiarannya.

 

Hari Selasa,

10. Tengku Razaleigh Hamzah (Gua Musang) minta Perdana Menteri menyatakan berapa ramaikah peserta tanah rancangan FELDA yang dibuka di negeri Sabah dan Sarawak dalam usaha membangunkan ekonomi rakyat di kedua negeri itu.

 

Last Updated on Oct022011